Berita

Tingkat integriti demi maruah negara, semua pihak perlu capai iltizam

- Diterbit 13 Januari 2025 12:30 PM MYT

HARAPAN untuk meletakkan Malaysia sebaris negara yang berintegriti dunia hanya dapat dicapai sekiranya pekerja di sektor awam dan swasta mempunyai iltizam yang jitu demi mencapai wawasan tersebut.

Menurut aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, keperluan sesebuah negara ditadbir dengan penekanan terhadap integriti selain usaha pencegahan terhadap rasuah adalah impian untuk setiap rakyat kerana ia dapat meningkatkan imej negara selain menjadi faktor kepada kecekapan sesebuah pentadbiran.

“Sekiranya pihak penjawat awam mereka masih mempunyai keinginan untuk mendapatkan sesuatu dan ada kecenderungan rasuah, jadi saya rasa ia susah untuk capai.

“Ini bukan sahaja penjawat awam, ia termasuk sektor swasta, sebab kita hendak wujudkan sebuah negara yang berintegriti, kita perlu melibatkan semua pihak bukan sahaja kerajaan, bahkan ia turut melibatkan sektor swasta dan masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Isnin.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menegaskan isu integriti dan tatakelola sejurus menerajui Kerajaan Persekutuan, namun pada masa sama ia perlu disambut anggota pentadbiran kerajaan serta barisan penjawat awam.

“Sudah lebih dua tahun kerajaan ini mentadbir dan Perdana Menteri sentiasa mengingatkan sektor awam, tetapi masih ada kakitangan awam yang terlibat dengan rasuah seperti mana yang kita tahu melibatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dikatakan hampir setiap minggu tangkapan dan pendakwaan oleh mereka seperti yang dipaparkan media.

“Jadi saya rasa amat penting adalah sejauh mana penjawat awam betul-betul hendak membantu Perdana Menteri untuk merealisasikan harapan beliau dan sejauh mana penjawat awam bersedia untuk menjadi contoh yang baik kepada rakyat berdasarkan kepimpinan melalui teladan dan ia sangat penting.

“Saya rasa ada faktor-faktor lain yang juga perlu diambil kira. Namun sejauh mana kakitangan awam mempunyai iltizam dan bersedia untuk berubah bagi mencapai hasrat Perdana Menteri itu yang perlu dicapai,” katanya.

Lam Thye berkata, keinginan Perdana Menteri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih merupakan sesuatu yang baik dialu-alukan oleh orang ramai kerana mereka hendak melihat sebuah pentadbiran yang bersih, jujur dan berintegriti serta cekap.

“Tetapi yang paling penting adalah sama ada pihak kerajaan ada iltizam politik untuk memastikan bahawa objektif ini tercapai.

“Iltizam politik atau political will ini penting, dan sungguhpun Perdana Menteri sudah berkali-kali menegaskan kakitangan kerajaan dan mengingatkan penjawat awam untuk sentiasa berintegriti, namun masih ada banyak kes yang melibatkan mereka dalam isu rasuah dan sebagainya,” katanya.

Sementara  itu, Lam Thye turut menggesa pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesedaran khususnya melibatkan pendidikan antirasuah dalam kalangan murid sekolah bagi membina masyarakat yang berintegriti pada masa depan.

“Generasi muda merupakan aset yang amat berharga, justeru itu, saya menyarankan agar pendidikan antirasuah ini perlu dijadikan silibus untuk murid sekolah rendah seperti mana kempen jauhi dadah yang dilaksanakan sebelum ini.

“Dengan penerapan seawal umur sembilan tahun, ia sekali gus dapat meningkatkan kesedaran lebih awal selain mendidik generasi muda membenci perlakuan rasuah dan menerapkan kepentingan nilai integriti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas