MANFAAT madu kelulut semakin mendapat perhatian memandangkan ia berasal daripada lebah stingless atau tidak bersengat yang memiliki kandungan khasiat lebih tinggi.
Selaras dengan hasrat Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk memajukan lagi penternakan kelulut di Putrajaya, pihak PPj dengan kerjasama National Institute Biotechnology Malaysia (NIBM) memperkenalkan siri Program Kelulut Putrajaya Ke Arah Amalan Penghasilan Madu Terbaik bagi menambah baik dan meningkatkan kelestarian penternakan kelulut di pusat pentadbiran kerajaan itu.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, seramai 60 orang peserta terdiri daripada penternak komuniti kelulut dalam dan luar Putrajaya terlibat dalam program yang diadakan secara percuma itu.
“Objektif program yang diadakan selama tiga hari itu adalah untuk melatih dan memberi galakan kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran serta berdaya saing. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjaga kelestarian makanan melalui penghasilan madu kelulut yang memenuhi pensijilan standard Amalan Pertanian Terbaik (MyGAP).
“Program ini dianjurkan untuk membantu komuniti khususnya penternak kelulut di Putrajaya memulakan dan mengembangkan aktiviti penternakan kelulut.
“Di samping itu, ia juga dapat membantu komuniti Putrajaya mempromosikan madu kelulut dan hasil hiliran di bawah satu penjenamaan yang berkualiti serta memberi galakan kepada penternak kelulut yang berminat untuk meningkatkan ekonomi setempat,” ujar beliau.
Fadlun berkata pada hari pertama peserta didedahkan dengan pengurusan lebah kelulut oleh Mohd Razif Mamat @ Daud yang merupakan seorang saintis daripada Genome and Vaccine Institute, NIBM.
“Beliau menerangkan kepada peserta tentang kaedah penyediaan kawasan pengkulturan, penyelenggaraan koloni, pengawasan ancaman perosak, penyakit dan penuaian serta pengumpulan produk mentah (madu, beebread dan propolis).
“Pada hari kedua, peserta telah dibawa ke Kebun Kelulut Kasih untuk sesi kembara ilmu dan perkongsian yang terletak di Hulu Langat yang mana kebun tersebut diusahakan oleh pasangan suami isteri iaitu Faridah Khalid dan Fuad di tapak berkeluasan anggaran 0.8 ekar selain taklimat bagaimana kebun menerima pengiktirafan,” ujarnya.
Pada hari terakhir, peserta berpeluang untuk mempelajari pembuatan Propolis Shower Gel yang merupakan satu produk hiliran berpotensi untuk menjana hasil pendapatan sampingan selain penuaian madu kelulut.
Selain itu, Fadlun berkata tiga buah kebun komuniti Putrajaya telah menerima Insentif Hive Kelulut dan Label Maduku Putrajaya.
“Melalui program seumpama ini, semangat kerjasama dapat dipupuk dalam menyatukan komuniti melalui khidmat sokongan profesional di dalam aspek penternakan kelulut selaras dengan aspirasi Putrajaya untuk menjadi Bandar Mampan 2025 dan Bandar Hijau Karbon Rendah Putrajaya dapat direalisasikan,” ujar beliau.
Terdahulu, Program Kelulut Putrajaya Ke Arah Amalan Penghasilan Madu Terbaik telah dianjurkan pada 25 sehingga 27 Jun 2024 bertempat di Bangunan Pusat Interpretif Pelawat (VIC), Taman Botani Putrajaya, Presint 1, Putrajaya. – WILAYAHKU