TINDAKAN tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan kebencian berasaskan agama dan kaum bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menegaskan bahawa perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Mac 2025, dan keputusan telah dibuat supaya tindakan segera diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
“Kita tidak boleh membiarkan kenyataan yang menghina mana-mana agama berleluasa tanpa tindakan sewajarnya. Undang-undang sedia ada mesti dikuatkuasakan bagi menghantar mesej jelas bahawa penghinaan terhadap agama dan perkauman tidak akan diterima, dan ada akibat bagi perbuatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan, termasuk rakaman kenyataan daripada beberapa individu yang terlibat. Namun, masih terdapat pihak yang terus mengulangi tindakan sama, yang hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Menurutnya, pihak polis dan Peguam Negara perlu bertindak pantas bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama bagi menekankan kepentingan menangani isu ini dengan segera.
Kerajaan berpandangan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina mana-mana agama atau mencetuskan ketegangan kaum. Oleh itu, langkah penguatkuasaan yang lebih tegas akan diambil bagi memastikan isu ini tidak berulang dan perpaduan rakyat terus dipelihara.-WILAYAHKU