KERAJAAN memberi jaminan manipulasi lesen bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tidak akan berlaku lagi susulan langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil alih sepenuhnya penganjuran bazar tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata langkah itu memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjual semula tapak bazar pada harga tinggi seperti sebelum ini.
“Tahun ini adalah kali pertama bazar dikendalikan sepenuhnya oleh DBKL, tanpa penglibatan pihak ketiga. Peniaga perlu membuat permohonan lesen secara terus melalui sistem dalam talian, tanpa orang tengah.
“Petak bazar pula ditentukan secara telus melalui cabutan undi yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi DBKL. Jika ada kekosongan, permohonan dibuka secara first come, first serve,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Hatta Ramli pada sesi jawapan lisan Dewan Negara.
Menurut Zaliha pihaknya turut mengesan cubaan pihak-pihak tertentu yang menjual tapak bazar menerusi aplikasi WhatsApp dan beliau sendiri memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit.
“Saya ada nombor telefon individu yang cuba menjual tapak secara haram ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih keras. DBKL juga telah membuat laporan polis bagi membendung aktiviti penjualan lesen secara tidak sah,” katanya.
Jelas Zaliha tahun ini, peniaga menikmati kadar sewa yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini, iaitu RM500, termasuk cagaran RM200 yang akan dipulangkan sekiranya syarat lesen dipatuhi.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, ramai peniaga meluahkan rasa lega kerana tidak lagi terbeban dengan kadar sewa tinggi yang sebelum ini boleh mencecah ribuan ringgit apabila dikendalikan oleh pihak ketiga,” jelasnya.
Katanya penganjuran bazar Ramadan di Putrajaya dilakukan di empat lokasi bazar Ramadan di Presint 3, Presint 11, Presint 14 dan Presint 16, serta satu Bazar Syawal yang menempatkan 1,054 peniaga dan diuruskan secara terus oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).
Sementara itu di Labuan, sebanyak tujuh bazar Ramadan akan beroperasi, termasuk di Labuan Walk dan Anjung Selera Durian Tunjong, membabitkan 255 permohonan lot bazar di bawah kelolaan Perbadanan Labuan (PL) dan beberapa penganjur lain.
“PPj dan PL turut memberi jaminan bahawa tiada manipulasi dalam pemberian lesen penjaja. Penguatkuasaan akan dilakukan secara berkala bagi memastikan bazar berjalan lancar tanpa sebarang penyelewengan,” tegas Dr Zaliha.
Jelas beliau langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan sistem yang lebih telus, teratur dan bebas daripada sebarang manipulasi.
“Sebarang kelemahan dalam penganjuran bazar tahun ini akan diperbaiki. Kita mahu pastikan sistem yang lebih adil kepada peniaga serta menghapuskan sindiket jualan tapak yang membebankan mereka,” katanya. – WILAYAHKU