TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita akaun bank Bersatu adalah berdasarkan peruntukan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
Demikian ditegaskan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sebagai respons kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertimbang tindakan saman terhadap suruhanjaya itu berhubung pembekuan akaun bank parti berkenaan.
Menurut beliau, sitaan akaun bank parti itu adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
“Sitaan akaun bank tersebut adalah kerana ia ‘subject matter’ kepada siasatan serta pendakwaan, dan oleh yang demikian ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
“Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan ‘penyitaan harta alih dalam institusi kewangan’ dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, Pendakwa Raya (DPP) telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Shaharuddin menambah, sehubungan itu tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama.
Katanya, ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta itu hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta terbabit.
“Adalah jelas, kes ini telah mendapat izin mendakwa dan Tan Sri (Muhyiddin) sebagai Presiden Bersatu telah dipertuduh di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
“Walau bagaimanapun, pihak Bersatu telah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023.
“Dan pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman Bersatu tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025,” katanya.
Justeru pihaknya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan akta.
“Dan bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang,” tambahnya. – WILAYAHKU