DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Kepong menjalankan operasi tindakan khas pindah halangan ke atas premis perniagaan yang dijalankan oleh warga asing serta premis yang menggajikan warga asing di sekitar Parlimen Kepong.
Memetik kenyataan di laman Facebook, sebanyak empat premis telah dikenakan tindakan penguatkuasaan di mana tiga telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Satu premis dikenakan tindakan kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016. Kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti,” ujar kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan serta Pejabat Cawangan Seputeh melaksanakan tindakan sitaan dan pindah halangan terhadap penjaja di sekitar Jalan Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama.
Melalui tindakan khas itu, DBKL menjalankan enam kes sitaan dan pindah halangan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Antara barangan yang disita adalah meja, kerusi plastik, kanopi, tong gas dan lain-lain peralatan. – WILAYAHKU