PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan agensi itu tidak sewenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan.
Asyraf menerusi hantaraN di facebooknya, berkata MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang.
Katanya, sebelum sebarang tindakan diambil nilai ihsan diutamakan bagi memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding.
“Prinsip ihsan sentiasa kita terapkan maknanya setiap peminjam yang mempunyai komitmen mesti membayar balik pinjaman mengikut jadual.
“Sekiranya ada masalah, kita minta mereka datang berunding supaya penjadualan dan pensktrukturan semula boleh dilakukan,” katanya.
Namun jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar (procrastination) walaupun berkemampuan bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan.
“Tindakan mahkamah dan perundangan adalah yang terakhir. Ini adalah untuk memastikan MARA mendapatkan kembali wang rakyat yang dikeluarkan dan wang ini akan digunakan semula untuk manfaat orang lain.
“MARA harus bersifat tegas pada masa sama adil dalam meastikan setiap sen wang rakyat dipulangkan terutama apabila kontrak ditandatangani bersifat peinjaman,” katanya. – WILAYAHKU