Berita

Tindakan cemar Islam, bukan isu politik seperti didakwa

BUKU serta risalah berkaitan ajaran Al-Arqam yang ditemui ditanam di tepi sungai di Kota Bharu. - Gambar hiasan
- Diterbit 27 September 2024 11:32 AM MYT

SIASATAN dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bukannya isu politik mahupun tindakan untuk menghancurkan ekonomi Islam seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya tegas Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, ia lebih kepada isu pelanggaran undang-undang, isu akidah, memanipulasi wanita, eksploitasi kanak-kanak dan penganiayaan.

Katanya ada banyak perniagaan orang Islam yang berjaya dengan mematuhi undang-undang, menjaga kebajikan pekerja dan memberi pulangan kepada ekonomi negara serta masyarakat tanpa melanggar peraturan dan undang-undang.

Malah katanya mereka juga berpegang kepada akidah dan tidak memanipulasi sesama manusia.

“Ada pihak memanipulasi agama untuk kepentingan sendiri, dengan menyembunyikan tindakan di sebalik jubah, janggut dan kopiah. Ada yang memakai jubah dan kopiah tetapi meminta sedekah di tepi jalan.

“Ada yang mengutip derma kononnya untuk bantuan anak yatim atau rakyat Palestin sedangkan hasil derma digunakan untuk kepentingan sendiri.

“Kenapa perlu pakai jubah dan kopiah, tak boleh pakai baju biasa? Tujuannya supaya dapat mengaburi mata orang lain daripada tindakan salah mereka,” katanya kepada Wilayahku.

Katanya tindakan itu sedikit sebanyak mencemarkan  Islam.

“Kita perlu berhati-hati dan banyak persoalan kepada orang yang berjubah, berjanggut dan berkopiah daripada orang yang berpakaian biasa. Inilah antara justifikasi dan hikmah yang Allah nak tunjukkan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan siasatan polis itu sengaja direka-reka, katanya, spekulasi mengenai GISBH apabila ia dikaitkan dengan gerakan Al-Arqam yang sudah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Katanya, catatan Facebook oleh GISBH mengesahkan ia ditubuhkan daripada saki-baki Al-Arqam, khususnya daripada cabang perniagaannya.

“Gerakan Al-Arqam telah melalui proses penjenamaan semula, terlebih dahulu menggunakan nama Rufaqa Corp sebelum beralih kepada GISBH.

“Setakat Ogos 2024, GISBH menjadi konglomerat swasta Islam dengan 25 anak syarikat yang memegang aset kira-kira RM325 juta dengan 415 cawangan perniagaan tersebar di 20 negara.

“GISBH menggajikan 5,346 orang di 25 anak syarikatnya, termasuk aset penting seperti restoran di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah, tempat penginapan di Turki, hotel di Sarajevo dan ladang seluas 120 ekar di Perth, Australia,” katanya.

Dengan keadaan itu jelasnya, sudah pasti sebarang risikan, siasatan dan tindakan oleh PDRM memerlukan masa secara berperingkat dan menyeluruh kerana melibatkan jumlah aset yang banyak dan jumlah pengikut ramai.

PDRM katanya, bertindak atas berlakunya pelanggaran undang-undang dan memerlukan kepada maklumat, risikan dan siasatan manakala isu berkaitan akidah adalah di bawah tugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri.

“PDRM menjalankan tugas berdasarkan kuasa diberi undang-undang, pengalaman dan kepakaran mereka. Begitu juga pegawai JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri mempunyai kepakaran masing-masing.

“Teruskan usaha yang baik. Apa sahaja kritikan jadikan sebagai pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas