Berita

Tilawah, hafazan al-Quran peringkat antarabangsa bermula 5 Oktober ini

- Diterbit 24 September 2024 11:20 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 Tahun 1446H/2024M bermula pada 5 hingga 12 Oktober ini.

Ia dianjurkan selama lapan hari bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata majlis perasmian pembukaan akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Oktober ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang pada 12 Oktober.

“​Penganjuran MTHQA kali ini melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk.

“​MTHQA akan melibatkan seramai 92 orang peserta keseluruhannya dari 71 buah negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Na’im memberitahu, Malaysia menghantar empat orang peserta iaitu dua peserta tilawah, Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman (Terengganu).

Katanya, dua peserta hafazan pula iaitu Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Kedah dan Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan).

“​Selain hadiah wang tunai disediakan kerajaan, pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sekali lagi bermurah hati menaja hadiah kepingan emas (gold bar) kepada johan kedua-dua kategori,” katanya.

Sempena MTHQA Ke-64 tahun ini, kerajaan telah memilih tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas