Berita

Tiket pra jualan Konsert Here I Am, Rossa habis dalam tempoh tiga jam

- Diterbit 12 November 2024 4:38 PM MYT

TIKET pra jualan Konsert Here I Am, penyanyi Datuk Seri Rosa yang dibuka secara eksklusif semalam, habis dijual dalam tempoh tiga jam.

Tiket kategori Festival yang berharga RM148 pula habis dijual dalam masa 4 minit membuktikan pengaruh dan populariti penyanyi yang terkenal dengan lagu Hey Ladies itu yang masih utuh.

Penyanyi asal Indonesia itu bakal menghiburkan peminatnya sekali lagi di sini tanggal 14 Jun 2025 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan buat peminat Rossa yang setia menyokong perjalanan karier beliau.

Antara lagu hits yang bakal disampaikan ialah Nada Nada Cinta, Pudar, dan Hey Ladies, selain beberapa persembahan eksklusif yang hanya akan dipersembahkan pada malam istimewa tersebut.

Rossa menyatakan kegembiraannya untuk kembali beraksi di pentas Malaysia dan tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.

“Sokongan peminat di sini sentiasa menghangatkan hati dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,”
ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali, turut menyatakan rasa terujanya terhadap kolaborasi ini.

“Kami di PRIHATIN amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai satu inisiatif bagi merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik seterusnya membantu Malaysia bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati, dan kami yakin konsert ini akan memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat beliau serta
memperkukuh ikatan persaudaraan serantau,” katanya.

Tambahnya lagi, Konsert Here I Am adalah susulan kepada tayangan filem dokumentari All Access to Rossa: 25 Shining Years yang ditayangkan bulan lalu.

“Atas permintaan ramai, khususnya Pencinta Rossa di Malaysia, kami membawakan konsert ini untuk mereka yang setia menyokong Rossa selama ini,” kongsinya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas