DUA wakil negara dalam acara beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024.
Kejayaan kedua-dua beregu campuran itu menyaksikan Malaysia kini mempunyai tiga wakil separuh akhir selepas pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir, semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Olimpik Hangzhou, Soon Huat-Shevon yang turun dengan misi wajib menang terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasangan Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 17-21, 21-15, 21-15, pada aksi yang berlanjutan lebih satu jam.
Shevon dalam audio dikongsikan BWF hari ini berkata beliau gembira dengan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir kejohanan itu, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2020.
“Kami gembira untuk layak ke separuh akhir. Kami tidak sangka akan pergi sejauh ini.
“Melihat kepada undian awal, kami ada peluang tetapi tidak letakkan harapan tinggi kerana pasangan lain dalam kumpulan kami sangat bagus. Jadi layak ke separuh akhir amat bermakna sekali buat kami,” katanya.
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan selepas menang ke atas beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-17, 21-18.
Kedua-dua pasangan negara itu akan turun beraksi di separuh akhir esok, dengan lawan mereka akan diketahui selepas undian yang dijadual berlangsung malam ini. – WILAYAHKU