PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan semua rakyat dilindungi melalui tiga tunjang Program Perlindungan Sosial.
Antaranya pencegahan melalui insurans sosial, kemampanan simpanan persaraan dan perlindungan melalui bantuan sosial.
Beliau berkata bagi pencegahan melalui insurans sosial, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM100 juta bagi tahun ini untuk menyediakan 80 peratus geran bagi membiayai caruman PERKESO pekerja gig.
“Menurut data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lebih 40 peratus tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan persaraan sewajarnya terutama melibatjan pekerja tidak formal.
“Oleh itu, dicadangkan diperluaskan liputan perlindungan KWSP dan PERKESO ke atas poulasi umur bekerja secara berperingjat mengikut fasa,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘Ekonomi MADANI:Memperkasa Rakyat’ di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.
Tambah Anwar, penambahbaikan turut dilakukan terhadap kemampanan Simpanan Persaraan di mana kerajaan akan memastikan tahap simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat yang akan menempuh alam persaraan.
“Bagi perlindungan melalui bantuan sosial pula, pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan serta ditambah baik untuk memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan,” ujar beliau.
Anwar berkata kerajaan akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan.
“Pendekatan ini selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja dalam konteks ekonomi yang cepat berubah,” ujar beliau. -WILAYAHKU