PERTUMBUHAN ekonomi Labuan bakal melonjak dengan kedatangan pelabur asing membabitkan tiga syarikat gergasi industri berat yang berpangkalan di China.
Menurut Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, kedatangan pelabur asing yang merancang untuk mengembangkan pengoperasiannya membuktikan bahawa pulau bebas cukai memiliki potensi besar khususnya dari segi kedudukan strategik dan pusat kewangan bertaraf antarabangsa.
Katanya dengan penawaran yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kemudahan sedia ada di Kompleks Halal Hub itu kepada tiga Syarikat Siemens Energy High Voltage Circuit Breaker Co Ltd yang berpangkalan di Hangzhou, Laian KLX Industrial Liability Co Ltd dan InnoVision Capital adalah satu cadangan yang amat baik.
“Sebelum ini, kita ketahui bangunan tersebut dibina berlandaskan pembangunan projek namun ianya tidak berjaya dan kini ia dikenali bangunan gajah putih, namun dengan keinginan tiga syarikat besar dari China yang mahu menjadikan bangunan itu sebagai kilang dan gudang industri berat mereka adalah satu perkara yang baik bukan sahaja kepada bangunan itu sendiri malahan kepada ekonomi Labuan.
“Usaha yang ditunjukkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan, Datuk Seri Liew Shan Wen membawa ketiga-tiga pelabur itu merupakan satu usaha yang amat baik kepada ekonomi Labuan sekali gus dapat mempromosikan Labuan sebagai satu pulau yang memiliki potensi besar bagi industri minyak dan gas serta pusat kewangan antarabangsa kepada pelabur di negara lain.
“Syabas kepada Perbadanan Labuan kerana sentiasa bekerja keras untuk membawa dan mempromosi pelabur asing ke sini,” katanya kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut, Geoffrey berpendapat bahawa usaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing ke pulau itu merupakan usaha berterusan dari pelbagai aspek yang harus dilaksanakan secara holistik termasuklah dengan kemudahan infrastruktur yang baik.
“Walau bagaimanapun, saya berpendapat agar pihak yang berkaitan bukan sahaja pihak PBT harus memastikan isu yang berbangkit termasuklah kemudahan infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik perlu ditambah baik agar ia dapat menyakinkan pelabur asing untuk mengembangkan pengoperasiannya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, S Roslee Matusin berkata pihaknya sentiasa menyambut baik dan menyokong usaha pelbagai pihak demi kesejahteraan warga di pulau itu.
Katanya, Labuan memiliki potensi yang besar untuk dimajukan lebih-lebih lagi dalam sektor perindustrian minyak dan gas selain kedudukan yang strategik dilihat sebagai satu kelebihan yang besar namun usaha bagi menarik para pelabur asing haruslah dipertingkatkan agar mereka dapat melihat kelebihan yang dimiliki.
“Ini jelas menunjukan Labuan kini semakin dikenali oleh pelabur asing dan kita sebagai warga pulau ini amat mengalu-alukan kedatangan mereka untuk beroperasi serta dalam masa sama mampu membuka peluang pekerjaan kepada warga di pulau ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang wakil pelabur tersebut menyatakan keyakinan untuk merealisasikan rancangan tersebut selepas menerima taklimat daripada Perbadanan Labuan.
Katanya, pihaknya bersetuju untuk menggunakan Kompleks Halal Hub sedia ada untuk kilang dan gudang. Selain itu, satu-satunya isu yang tinggal ialah memuktamadkan insentif cukai yang boleh ditawarkan. – WILAYAHKU