SEORANG penjaja belon tanpa lesen bertindak agresif dengan menolak penguat kuasa selepas tiga kali diberi teguran di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) lewat malam tadi sekali Gus mencetuskan insiden yang kini tular di media sosial.
Menurut Unit Media DBKL, kejadian berlaku sekitar jam 11.50 malam ketika anggota penguat kuasa melakukan rondaan berkala bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai menjelang Aidilfitri.
” Kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menyebabkan kesesakan di laluan pejalan kaki, dan pihak berkuasa mengambil langkah untuk menegur mereka.
“Sebahagian besar penjaja akur dengan arahan untuk beredar, namun seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan meskipun telah diberi teguran sebanyak dua kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, apabila teguran ketiga diberikan, penjaja tersebut bertindak agresif dengan menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas, menyebabkan keadaan menjadi tegang.
“Bagi mengelakkan insiden lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak segera untuk memisahkan individu terbabit dan mengawal situasi, ” katanya.
DBKL mengesahkan keadaan kembali terkawal tidak lama kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“DBKL akan menjalankan siasatan lanjut serta meneliti sebarang penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
DBKL turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, tanpa mengira latar belakang kaum. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Terdahulu, Tulare di media sosial Insiden Penguatkuasa DBKL mengasari Seorang penjaja belon sehingga mendapat perhatian orang ramai. -WILAYAHKU