Berita

Tiga jawatankuasa Kabinet mengenai kesihatan digabungkan

- Diterbit 28 Januari 2025 3:26 PM MYT

TIGA jawatankuasa Kabinet di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan digabungkan menjadi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional bagi menangani pelbagai isu berbangkit dalam sektor kesihatan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi bilangan 1/2025 di Putrajaya hari ini.

“Penggabungan itu melibatkan Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat sebanyak tiga kali setahun.

Terdahulu beliau berkata, sepanjang tahun lalu, KKM merekodkan 122,423 kes demam denggi dan 117 kematian, iaitu penurunan kes denggi sebanyak 0.6% dan peningkatan kematian 17% berbanding 2023.

Menurutnya, bilangan kes yang dilaporkan pada awal tahun 2024 adalah melebihi 3,000 kes seminggu.

Namun begitu katanya, terdapat perkembangan positif apabila berlaku tren penurunan kes bermula pada Minggu Epidemiologi ke-29 (20 Julai 2024).

“Kini purata kes mingguan telah menurun dengan ketara kepada sekitar 1,200 hingga 1,500 kes setiap minggu dan berada di bawah paras median lima tahun.

“Sehingga Minggu Epidemiologi ke-04 (25 Januari 2025), secara kumulaitf, sebanyak 5,537 kes demam denggi dan tiga kematian direkodkan berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian pada tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan kes denggi sebanyak 61.7% dan kematian sebanyak 66.7%,” katanya.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, penurunan itu adalah hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak, termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat yang berganding bahu memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Bagi memperkukuh pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi melalui pendekatan menyeluruh, beliau berkata, beberapa keputusan telah diputuskan iaitu semua kementerian, jabatan, agensi perlu memperkukuh inisiatif sedia ada dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi serta mewujudkan inisiatif-inisiatif baharu dan KKM bersedia memberi input teknikal jika diperlukan.

Kerajaan negeri juga katanya, perlu mengambil maklum dan dapat mempertimbangkan inisiatif projek Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk dilaksanakan di negeri masing masing.

“Selain itu meneruskan pengoperasian pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dengan penambahan 10 lokaliti baharu setiap tahun serta memperluaskan di negeri-negeri lain. Pada masa ini hanya lapan negeri telah melaksanakannya iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Pahang serta Negeri Sembilan.

“Saya menyeru seluruh rakyat untuk lebih peka terhadap masalah denggi dan sentiasa memastikan persekitaran premis bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas