Berita

Tiga hotel milik warga asing ditutup serta-merta dalam Operasi KL Strike Force

- Diterbit 23 Mac 2025 3:49 PM MYT

TIGA buah hotel yang dikendalikan warga asing di ibu negara ditutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen dalam operasi khas KL Strike Force yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam hantaran di Facebook, DbKL berkata siasatan dan pemantauan selama hampir seminggu oleh pasukan penguat kuasa DBKL mengenal pasti empat hotel yang melanggar peraturan, dengan tiga daripadanya dikenakan tindakan penutupan serta-merta di bawah Akta Hotel (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003.

” DBKL turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan mengikut akta sama serta Notis Tawaran Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 atas pelbagai kesalahan,” katanya hari ini

DBKL menegaskan pemantauan akan diteruskan secara berkala di lokasi tumpuan bagi memastikan pematuhan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan aduan menerusi pautan berikut: https://adukl.dbkl.gov.my/.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas