Selebriti

Tidak selalu indah

- Diterbit 3 Disember 2024 5:43 PM MYT

HIDUP tidak selalunya indah, langit bukannya selalu cerah. Tidak semua yang kita inginkan dapat dikecapi, maka saat itulah hidup terasa begitu berat. Jalani saja apa yang ada di hadapan kita. Sentiasa bersyukur, melangkah sesuai kemampuan dan bahagia dengan apa adanya.

Selebriti tidak terkecuali. Apabila terpaksa bertarung dengan pelbagai penyakit termasuk yang kronik, maka agak sukar untuk mengharapkan tawaran berlakon atau menyanyi. Inilah dilema yang dilalui mereka.

Menyedari situasi ini, program Malam Silaturahim, sebuah acara eksklusif anjuran HS Event & Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), telah menyampaikan sumbangan khas berupa wang tunai kepada 20 individu yang pernah berjasa dalam bidang seni dan media.

Antara penerima sumbangan tersebut adalah Ebby Yus, bekas vokalis Ali XPDC dan Nine Coco. Ketiga-tiga insan ini reda dengan takdir, dalam masa sama bersyukur dikurniakan orang-orang baik di sekeliling mereka.

Terus melangkah atas kerusi roda

Pelakon dan pelawak popular, Ebby Yus akui sakit yang dialaminya bukanlah penghalang untuk dirinya terus menghiburkan orang ramai.

Bagi pemilik nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid memaklumkan kedua-dua buah pinggangnya sudah pun rosak dan perlu menjalani rawatan dialisis air susulan keadaan jantungnya yang agak lemah.

“Buah pinggang saya dah rosak dan sekarang ini perlu jalani rawatan dialisis darah. Tetapi saya tak boleh jalani rawatan dialisis darah disebabkan kekuatan jantung saya yang kurang. Jadi, terpaksalah doktor tukar kepada rawatan dialisis air melalui perut,” katanya.

Pelakon yang terkenal menerusi sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) memaklumkan dia tidak berasa sedih dengan penyakit yang dihidapi, malah sentiasa bersemangat untuk terus menghiburkan peminat.

“Selagi mampu kita nak buatlah (berlakon), tapi bergantung juga kepada keadaan kesihatan sekarang ini.

“Kalau dipanggil pun, insya-Allah masih boleh buat yang ringan atau mana yang sesuai. Tak dinafikan, tawaran berlakon pun sudah mula berkurang apabila mereka telah tahu keadaan kesihatan saya.

“Alhamdulillah, mereka faham dan tawarkan saya untuk jayakan program yang mampu saya buat. Misalnya TV AlHijrah membantu saya dari segi perubatan selama dua tahun dan libatkan saya dalam podcast.

“Apabila kita makan dan kenyang, kita akan rasa puas, tetapi santapan jiwa ni tak pernah kenyang atau puas sehinggalah orang sudah tak boleh terima, barulah kita berhenti.

“Selagi orang boleh terima, meskipun berada atas kerusi roda, masih boleh teruskan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ebby akui terharu dan bersyukur dikurniakan kawan-kawan serta orang sekeliling yang banyak membantunya.

Ali XPDC diduga sihir

Bertubi-tubi dugaan datang melanda. Setelah penyakit jantung semakin pulih, penyanyi Ali XPDC, 56, diuji pula dengan sihir.

Menurut isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, kadang-kadang Ali menjerit seorang diri dan sering berasa pans, membuatkan dirinya amat risau.

“Ali sebenarnya baik-baik sahaja, beginilah keadaannya. Cuma kadang-kadang dia tiba-tiba menjerit, tapi apabila dibacakan ayat Al-Quran, abang terus tenang.

“Ustaz dah pesan, kalau boleh jangan keluar TV lagi buat masa ini. Kalau persembahan yang tidak keluar TV, tiada masalah.

“Cuma ada sebelum ini kami sudah bersetuju awal untuk program TV di RTM. Jadi muka abang keluar TV. Sejak keluar TV, kadang-kadang abang seolah-olah diganggu dan tiba-tiba meracau.

“Sejak itu walaupun tak muncul di TV, dia boleh tiba-tiba jadi gelisah dan menjerit. Padahal sebelum itu keadaannya elok sahaja,” katanya.

Bukan hanya itu, Ali juga diduga apabila tubuhnya sering berasa panas secara tiba-tiba tanpa sebab.

“Apabila rasa panas, dia buka kipas atau aircond. Tak tahan panas katanya. Bila pergi hospital, doktor cakap 70 peratus sakit dia sebelum ini sudah berkurang. Sangat bagus doktor cakap. Darah tinggi dan keadaan oksigen dalam badan pun semakin pulih.

“Memang ustaz ada cakap ada kaitan dengan mistik. Saya baru bawa abang pergi berubat dengan ustaz. Namun keadaannya tetap sama.

“Sebagai isteri, apa jua keadaan yang dialaminya, saya tak akan pernah sekali meninggalkannya. Saya akan tetap setia menjaga sehingga dia betul-betul sembuh,” tambahnya lagi.

 

Syurgalah tempat isteri saya

Vokalis Coco, Nine akui sakit jantung dan strok yang dialaminya bukanlah sesuatu yang mudah, namun kuasa Allah menentukan segala-galanya.

“Pada Julai lepas saya terkena serangan jantung kemudian strok. Jadi sekarang, saya hanya lalui apa yang telah ditakdirkan, dalam masa yang sama, saya sedang menjalani terapi untuk strok.

“Ketika kritikal dalam ICU (Unit Rawatan Rapi) dulu, doktor bagi saya hanya lima peratus sahaja boleh hidup. Kiranya sudah hujung-hujung nyawa. Keadaan ini menyebabkan anak sulung saya mengalami anxiety  (kebimbangan yang melampau) sebab dia ingat saya dah pergi.

“Apa yang saya boleh cakap sehingga ke saat ini, Allah itu Maha Besar. Saya tak tahu macam mana nak gambarkan perasan saya.

“Anak-anak biasanya balik saja dari sekolah akan tanya keadaan saya. Ini menunjukkan mereka sudah boleh faham dan terima keadaan saya seadanya,” katanya.

Nine atau nama sebenarnya Zulqarnain Jaafar, 43, juga meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan isteri, Feride yang bersamanya dalam setiap keadaan.

“Apa yang dilalui oleh kami, turut dilalui oleh pasangan lain. Saya sangat beruntung mempunyai isteri yang banyak menyokong saya. Disebabkan semangat dia kuat, saya turut menjadi kuat. Kalau dia lemah, saya pasti akan lemah.

“Sudah tentu sebagai suami, saya terharu dengan pengorbanannya. Siang dan malam, walaupun sibuk bekerja, menguruskan anak-anak lagi, dia tetap sentiasa ada untuk saya.

“Andai kata saya sihat sepenuhnya nanti dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa, saya takkan mampu balas jasa isteri saya. Apa yang dia buat terlalu besar. Hanya Allah yang mampu membalas segala pengorbanannya. Syurgalah tempat dia,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas