Berita

Tidak pinggirkan artis veteran… ‘Mereka mampu jadi duta produk yang berkesan’ – Kak Ya

- Diterbit 28 Oktober 2024 7:23 AM MYT

JIKA lebih ramai pengasas menjadikan selebriti muda dan popular sebagai duta produk mereka, Yaya Empire mengambil pendekatan dan mempunyai pandangan berbeza.

Bagi Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa, artis veteran juga mempunyai tarikan dan keupayaan untuk menjadi duta sesuatu produk malah mampu melariskan perniagaan.

Lebih daripada itu, golongan berkenaan juga mempunyai pengikut dan peminat yang setia serta menyokong aktiviti yang membabitkan mereka.

Buktinya, Nadia mengambil pelakon veteran Kamarool Yusoff atau lebih popular dengan nama Cik Man sebagai seorang daripada duta produk wangiannya.

“Cik Man memberikan komitmen yang sangat bagus terutama dalam membuat kandungan yang menarik serta mampu menarik perhatian semua peringkat umur.

“Lebih menarik kanak-kanak seawal usia tiga tahun juga mengenali Cik Man dan kami menerima makluman sangat positif daripada pelanggan kami,” katanya ketika ditemui pada karnival Bossku Mega Expo 2024 di Tumpat, Kelantan, yang diwangikan oleh Yaya Empire, baru-baru ini.

Nadia yang juga mesra disapa Kak Ya berkata, Cik Man yang mempunyai peminat dalam kalangan pelbagai peringkat usia juga mampu menterjemahkan sokongan menerusi pembelian produk oleh syarikatnya.

PENGARAH Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa berpuas hati dengan komitmen pelakon veteran, Cik Man.

Katanya, sudah lima tahun memilih Cik Man sebagai duta produk di samping selebriti lain seperti pelakon, penyampai radio dan pelawak, Issey Fazlisham serta pempengaruh media sosial, Mia Azhar.

“Cik Man juga tidak berkira soal bayaran malah bersetuju kerana mahu membantu usahawan tempatan terutamanya yang berasal dari Kelantan,” katanya.

CIK Man terkenal dengan tagline ‘Semua Masuk Syurga’

Baginya, selain untuk mempromosikan produk, duta juga membantu membawa imej sesebuah jenama dalam menarik minat serta perhatian pembeli.

Sementara itu, Cik Man 67, yang dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan.

“Saya sendiri terima dengan hati terbuka bila Yaya Empire tawarkan untuk jadi duta sejak lima tahun lalu dan saya tertarik kerana ia diusahakan oleh anak muda dan berasal dari negeri kelahiran saya.

“Tidak kisah kita popular atau tidak, tua mahupun muda kalau kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan pasti akan nampak hasil.

“Bagi saya bila orang percaya kita berikan yang terbaik dan saya juga beruntung kerana masih ada peminat yang terus sokongan saya,” katanya yang sudah berlakon dalam lebih dari 50 buah filem.

BAGI Kak Ya, artis veteran mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Cik Man terkenal dengan tagline ‘Semua Masuk Syurga’ juga bersyukur serta terharu kerana sentiasa ditegur peminat setiap kali kemunculannya.

Pada karnival itu, Yaya Empire menjadi penaja dalam karnival jualan membabitkan usahawan tempatan serta menganjurkan konsert percuma yang menarik lebih 10,000 penduduk tempatan di Pantai Sri Tujuh Tumpat pada Jumaat lepas.

DATUK Jamal Abdillah dan Haqiem Rusli menghiburkan lebih 10,000 penduduk tempatan di Pantai Sri Tujuh Tumpat pada Jumaat lepas.

Selain persembahan dikir barat oleh kumpulan Sri Budi Jati serta penyanyi dikir tempatan, Datuk Jamal Abdillah dan Haqiem Rusli turut menghiburkan penonton.

Lebih menarik Jamal turut menyampaikan lagu popularnya Sendiri dalam versi dikir barat bersama Ezeri Layang Putih yang digelar Datuk Jamal versi Kelantan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas