PELAKON Mira Filzah menyatakan dirinya sudah lama bersuara dalam memperjuangkan nasib yang menimpa saudara Islam di Palestin.
Menurut Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, para pengikutnya dalam media sosial menyedari akan kelantangannya berkongsi tentang kekejaman Zionis sebelum ini.
“Siapa yang datang semata-mata nak ‘stalk’ (mengintip) sahaja rasa ‘dan dan’ kongsi.
“Siapa yang sudah lama ikuti akaun media sosial, mesti tahu apa yang saya selalu kongsi. Mari saya tunjuk ya.
“Sebelum 12 Mei, (sebelum trend boikot artis jadi viral) pada tarikh 7 hingga 10 Mei pun saya ada muat naik. Sejak Januari pun sudah muat naik, bukan ‘dan dan’ (tiba-tiba),” katanya dalam aplikasi X.
Tambah Mira, dia turut menegur netizen agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat berkaitan gerakan boikot yang dilancarkan dalam media sosial.
“Saya bercakap ini untuk semua. Lakukan apa sahaja yang anda mahu. Kalau ingin sekat, buatlah tetapi tidak perlu sampai keluarkan kata-kata yang tidak baik.
“Itu ‘blockout’ bukan ‘makiout’. Ingat, penulisan kita pun ada dosa dan pahala,” ujarnya. Difahamkan, nama Mira tersenarai dalam artis yang perlu diboikot kerana menjadi duta bagi produk pewangi.
Terdahulu, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu dibuat sebagai tanda rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka.
Semuanya bermula pada Met Gala 2024 minggu lalu apabila ada selebriti terkenal tidak menggunakan ‘kuasa’ mereka untuk bercakap mengenai serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Rafah.
Disebabkan gerakan itu, Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosial, diikuti beberapa selebriti lain seperti Taylor Swift, Selena Gomez, Justin Bieber dan Blackpink.
Gerakan itu turut mendapat sambutan di Malaysia dan setakat ini lebih 20 selebriti sudah dikenal pasti mula mempromosikan barangan atau jenama yang secara terang menyumbang dan menyokong Zionis.
Selain Mira Filzah, nama artis tempatan yang turut disebut ialah Meerqeen, Intan Najuwa, Nadhir, Scha Alyahya, Daiyan Trisha, Eyka Farhana, Nabila Razali, Ameera Khan, Neelofa, Datuk Seri Vida dan ramai lagi. – WILAYAHKU