Berita

Tidak perlu risau terhadap vaksin AstraZeneca

VAKSINASI terakhir AZ yang diterima rakyat Malaysia telah berlalu bertahun lamanya. - Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mei 2024 9:10 AM MYT

VAKSIN AstraZeneca (AZ) tidak menyebabkan atau tiada kaitan dengan kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih lagi berlaku kini.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan AZ sejak kebelakangan ini serta ia tidak digunakan untuk dos penggalak.

Menurut Noor Hisham, kesan sampingan yang dikatakan berkait dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).

“Ia adalah penyakit di mana darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi.

“Orang ramai diminta tidak risau kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca telah berlalu bertahun lamanya,” katanya.

Malah Noor Hisham turut menegaskan, kes mahkamah yang diuar-uarkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom sewaktu pandemik COVID-19, ia bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini.

Sementara itu beliau memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) pada waktu itu telah menerima laporan bahawa VITT ini boleh berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas vaksinasi.

“Namun yang demikian, vaksin ini masih perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi dan ketika itu stok vaksin tidak mencukupi.

“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini malah golongan berisiko ini tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.

“KKM juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI),” ujarnya.

Jelas Noor Hisham, insiden kesan sampingan darah beku juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam setiap satu juta suntikan.

“Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan COVID-19 itu sendiri, ia lebih selamat.

“Selepas jangkitan COVID-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) ini adalah setinggi 165,000 kes dalam sejuta jangkitan.

“Insiden darah beku dalam kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam sejuta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” jelasnya.

Menurut Noor Hisham, kes serangan jantung, stroke dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, kolesterol dan kencing manis.

“Orang ramai diminta membezakan antara VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain. Kriteria diagnosa VITT mestilah ia berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.

“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan. Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas