Berita

Tidak kisah disindir artis tua aktif TikTok… AR Badul seronok layan peminat, bahagi rezeki

- Diterbit 13 Mei 2024 6:29 PM MYT

PELAKON veteran, AR Badul, 75, telah membuktikan bukan hanya artis muda yang mendapat sambutan serta perhatian dalam media sosial.

Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie yang juga seorang pengarah ini seronok bermain TikTok kerana mahu melayan para peminat yang mahu mengetahui perkembangan dirinya.

Badul yang kini telah mempunyai kira-kira 95,000 pengikut di TikTok ini sama sekali menafikan dakwaan sesetengah netizen kononnya Badul bermain TikTok kerana tiada tawaran lakonan.

Semua ini bermula apabila tersebar luas berita palsu yang dirinya telah meninggal dunia.

“Ketika itu, ada seorang rakan artis mengajak bermain TikTok dan saya cuba. Tidak sangka, video yang biasa saja tapi ditonton kira-kira 40,000 orang. Dari situ, saya pun buka akaun TikTok sendiri.

“Kemudian, saya buat video yang tidak menceritakan langsung mengenai berita palsu kematian itu dan dapat lebih 200,000 tontonan. Sejak itu, saya selalu buat video TikTok sehinggalah akhirnya akaun itu disekat,” katanya kepada Wilayahku.

Terdahulu, Badul ditemui pada sidang media Malam Anugerah Apresiasi Hos Rasmi TikTok Live di Dewan Magika Winter, Pusat Konvensyen Antaranabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya ,malam semalam.

Dalam masa yang sama, Badul juga tidak ambil peduli atau terasa hati dengan sindiran segelintir netizen bermain TikTok di usia 70-an.

“Saya pernah disindir, artis tua main TikTok sebab dah tak ada ‘job’ (kerja). Tapi, mereka silap kerana saya di TikTok itu untuk melayan peminat-peminat saya yang kebanyakan mereka berumur 40 tahun dan ke atas.

“Terus-terang, saya tidak cari (pengikut) yang muda-muda ini. Peminat saya adalah mereka yang tengok wayang saya dari kecil, tengok filem saya sampai ke tua dan kalau kerja askar itu, dah pencenlah,” katanya.

Ujar Badul, dia juga tidak melupakan untuk berbahagi rezeki dengan golongan memerlukan menerusi ‘gift’ (hadiah) diterima daripada pengguna media sosial lain sebagai sedekah.

“Kalau ada dapat ‘gift’, tak semua saya ambil. Contoh, jika dapat ‘gift’ RM1, saya bahagikan tujuh peratus saya ambil dan tiga peratus lagi disedekahkan kepada mereka memerlukan. Saya pun tidak paksa orang untuk bagi ‘gift’.

“Apapun, saya bersyukur pada usia yang dah nak hujung-hujung ini, saya dapat kumpulkan kira-kira 95,0000 pengikut di akaun TikTok. Ia pastinya bukan jumlah yang mudah dikumpul oleh artis veteran seperti saya, tapi dapat dilakukan,” katanya.

Badul berkata, menerusi Vibes International Agency yang disertainya secara percuma untuk menjadi ‘live host’ TikTok, dia banyak dibantu bagaimana menjadi TikToker yang berjaya dengan kandungan video-video tidak kontroversi dan melanggar sensitiviti masyarakat. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas