Artikel

Tidak hadir SPM: Usah pandang remeh

- Diterbit 14 Jun 2024 10:40 AM MYT

KEJAYAAN 11,713 calon lulus cemerlang mendapat A dalam semua mata pelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan 27 Mei lalu memang membanggakan. Tentunya mereka kini sedang menunggu peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Namun di sebalik kejayaan cemerlang ribuan calon ini, kawan-kawan Kedai Kopi terganggu dengan jumlah calon yang tidak hadir peperiksaan. Seramai 10,160 calon daripada 383,685 tidak menduduki walau satu kertas pun.

Juga menyedihkan kawan-kawan Kedai Kopi ialah daripada keseluruhan calon yang hadir, sejumlah 1,467 gagal dalam semua mata pelajaran, memperoleh Gred G (Gagal) semuanya. Begitu teruk sekali seolah-olah langsung tidak menjawab soalan atau jawapan tidak menepati soalan.

Isu ini tidak boleh dipandang remeh. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri memberi komitmen untuk membuat kajian bagi mencari punca kenapa ramai tidak hadir.

Secara kasar boleh disimpulkan mereka yang tergolong dalam kategori ini adalah yang lemah prestasi akademiknya serta tidak mempunyai semangat untuk belajar. Datang ke sekolah pun mungkin kerana terpaksa, menurut kemahuan ibu bapa.

Jika ini keadaannya, walaupun pihak sekolah berusaha bersungguh-sungguh mendidik dan mahu mereka berjaya, usaha tersebut dilihat sukar menghakis sikap acuh tidak acuh pelajar terlibat. Mereka lebih suka bebas, termasuk ponteng sekolah.

Mengubah sikap mereka memang sukar. Namun usaha tetap perlu dilakukan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas