Berita

Tidak guna dana syarikat swasta

- Diterbit 2 Disember 2024 3:45 PM MYT

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh kononnya cuba mendekati rasuah, mempunyai kepentingan peribadi  dan menggunakan kuasa yang ada padanya sesuka hati.

Padahal Anwar menegaskan beliau tidak menggunakan dana syarikat swasta untuk membiayai lawatan kerjanya ke empat negara sebelum ini.

Malah usaha ini sepatutnya  dibanggakan kerana ini adalah usaha Perdana Menteri menggunakan pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.

Kenyataan Anwar itu menimbulkan bantahan serta kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang, yang mendakwa kemungkinan wujud perselisihan kepentingan di atas pembiayaan oleh syarikat swasta itu.

Anwar sebaliknya menjelaskan, kerajaan membelanjakan RM1.6 juta, menggunakan dana kerajaan bagi menampung kos penerbangan delegasi.

“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna Penerbangan MAS untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang kerajaan sepenuhnya.

“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara terbabit untuk tujuan pelaburan atau usaha sama,” katanya menerusi X.

Ia bagi menjawab tuduhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), C4 kononnya kerajaan mestilah sentiasa berwaspada dalam memastikan tidak terhutang budi kepada pihak-pihak korporat supaya kepentingan awam dapat diutamakan.

Tuduhan berkenaan disiarkan di sebuah portal pro-pembangkang yang terkenal dengan menyiarkan kenyataan atau berita menyerang kerajaan biarpun telah dijelaskan dengan panjang lebar.

Penjelasan Anwar Ibrahim bagi menjawab tuduhan C4 yang disiarkan di sebuah portal pro-pembangkang, baru-baru ini.

Tambah Anwar lagi, syarikat swasta ini membayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.

“Jika guna jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta.

“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya.

Anwar sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat minggu lalu memaklumkan kos sekitar 70 hingga 80 peratus yang dibelanjakan membabitkan perjalanan dan lawatan rasminya ke empat negara dibayar oleh syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.

Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas