Biz

Tidak gentar saingi produk antarabangsa

- Diterbit 12 Januari 2024 4:39 PM MYT

BERSAING dalam memasarkan produk penjagaan rambut bukan mudah memandangkan terdapat pelbagai jenama antarabangsa yang mempunyai pengguna tersendiri dan pasaran yang kukuh.

Namun ia tidak mematahkan semangat Mohd Redzwan Shujauddin, 39, untuk terus mengembangkan perniagaan produk perawatan rambut yang dimulakan sejak tahun 2016.

Pengasas syampu Aura Hijab di bawah jenama nutrifrag ini sentiasa positif berdepan arus cabaran untuk meletakkan produknya sama tinggi dengan jenama antarabangsa yang ada di pasaran pada hari ini.

Berkongsi lanjut tentang liku-liku yang ditempuhi ketika mula memasarkan syampu untuk wanita bertudung ini, Redzwan berkata di awal pembabitannya tujuh tahun lalu agak sukar untuk beliau menembusi pasaran.

“Tempoh dua hingga tiga bulan awal merupakan satu jangka masa yang sulit kerana syarikat tak ada maklum balas daripada pengguna memandangkan ia produk baharu. Kalau nak cari ejen jualan sekalipun, mereka akan tanya tentang rekod sebelum itu berjaya dijual atau tidak.

“Dalam masa yang sama, kita juga berdepan dengan saingan jenama popular yang pengguna dah kenal. Ibaratnya kalau letak Aura Hijab di sebelah syampu lain di pasar raya, memang orang akan pilih jenama antarabangsa berbanding produk kita.

“Namun, sebenarnya saya tidak melihat ia adalah cabaran yang besar kerana kekuatan Aura Hijab adalah jualan secara terus kepada pelanggan. Jadi, ada ruang untuk pihak kami menerangkan tentang syampu yang dicipta khas untuk wanita Malaysia bertudung dan bonus tambahan apabila kita sebagai orang tempatan lebih arif dari segi gaya hidup, pemakanan dan sebagainya yang menyumbang kepada kesihatan rambut,” ujar beliau perkongsian tersebut merupakan antara cara untuk menambat hati pengguna.

Berkongsi lanjut, Mohd Redzwan mengakui proses tiga tahun mendalami ilmu tentang produk sebelum dikeluarkan merupakan ruang menguatkan diri untuk berdepan dengan risiko dan sebarang kemungkinan yang mendatang.

“Bermula dengan memikirkan produk apa yang ingin dikeluarkan sahaja sudah mengambil masa setahun sebelum memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan syampu yang mengatasi masalah rambut untuk wanita dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun.

“Proses yang panjang ini jugalah yang melahirkan semangat untuk bertahan apabila diuji kerana saya memikirkan segala penat lelah, wang ringgit dan sebagainya yang telah dikorbankan. Faktor-faktor tersebut juga membuatkan saya kuat biar apa pun cubaan yang melanda,” ujarnya.

Beliau juga merupakan antara usahawan yang berdepan cabaran ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19 menyerang negara sekitar tahun 2020.

“Ketika itu masalah utama adalah dari segi stok, biarpun kilang boleh beroperasi untuk barangan asas seperti syampu tetapi kami berdepan dengan kilang percetakan di mana tempahan akan mengambil masa sehingga dua bulan untuk sampai berbanding hanya dua minggu sahaja sebelum pandemik. Modal pusingan pun kena lebih membuatkan banyak syarikat gulung tikar.

“Namun mujurlah selepas keadaan semakin pulih, banyak bantuan dan suntikan dana yang disalurkan kepada peniaga sekali gus daripada situ jugalah saya kembali bangkit dengan melatih tim untuk memasarkan produk secara lebih meluas dan aktif.

“Pada permulaan perniagaan, syarikat memang aktif melatih ejen seluruh Malaysia tetapi selepas COVID-19, kita fokus kepada tim dalaman kerana sepanjang tempoh pandemik, saya lihat ramai ejen yang tukar bidang dan mencuba pelbagai cabang baharu,” ujarnya yang turut menyediakan kelas latihan khusus kepada timnya.

Berbicara tentang idea untuk mengeluarkan produk syampu, usahawan ini berkata ia bermula ketika melihat isterinya yang sering membeli pelbagai jenama syampu perawatan rambut.

“Apa yang saya perasan isteri saya suka beli dan mencuba produk yang ada di pasaran. Belum habis satu produk, dia beli jenama lain pula dan dia tidak kisah untuk membelanjakan duit untuk itu asalkan masalah rambut dapat diatasi.

“Daripada situ juga saya sedar, betapa pentingnya mahkota itu untuk dijaga dengan sebaik-baiknya. Tanpa berfikir panjang, saya memutuskan untuk menghasilkan produk syampu yang bukan sahaja dapat membantu isteri bahkan wanita bertudung di luar sana yang mempunyai masalah berkaitan rambut,” ujarnya.

Tambahnya keistimewaan produk Aura Hijab adalah bahan yang digunakan terdiri daripada habbatus sauda, buah keras, daun bidara dan minyak zaitun.

JUALAN JUTAAN RINGGIT

Seiring masa berlalu, usahawan muda ini semakin mengorak langkah kejayaan apabila berjaya membuat jualan hampir RM6 juta pada tahun lalu sekali gus ia merupakan pencapaian yang membanggakan bagi sebuah jenama tempatan.

Malah, Aura Hijab semakin dikenali di Singapura dan Brunei sehingga beberapa negara luar lain menyangkakan ia adalah produk keluaran kota singa. Sejak dipasarkan pada tahun 2018 di Singapura, jualan sangat memberangsangkan dan mencecah 2,000 unit sebulan.

“Di sana kita tiada buat iklan hanya mengharapkan pengedar sahaja, jadi untuk tahun 2024 ini fokus saya untuk menaikkan jualan di Singapura dengan memberi tumpuan terhadap pemasaran selain akan membuka anak syarikat di sana,” ujarnya yang turut berhasrat untuk memasarkan produk di pasar raya besar pada masa akan datang.

Bakal membuka sebuah wisma tiga tingkat di Nilai dalam masa terdekat, Pengarah syarikat Be One Excel Sdn Bhd ini bersyukur perjalanan dalam bidang perniagaan dipermudahkan seterusnya berjaya membuahkan hasil satu persatu membuktikan usaha kerasanya selama ini.

“Insya-Allah apabila selesai proses pengubahsuaian, kita akan masuk ke wisma baharu yang lebih luas. Di situ saya akan besarkan tim seterusnya memberi tumpuan terhadap segmen digital lain seperti jualan secara langsung di platform media sosial TikTok dan sebagainya,” ujarnya.

Aktif dalam membantu usahawan kecil memasarkan produk, beliau juga sering berkongsi pengalaman dengan mengadakan kelas berkaitan dunia digital kepada mereka yang berminat dan turut berkolaborasi bersama Kolej Teknologi Bestari, Ampang.

“Kita juga mempunyai kumpulan WhatsApp untuk ejen berkomunikasi secara langsung jika ada masalah untuk dikongsi bersama selain tip berkaitan pemasaran digital yang kita semua tahu sangat penting ke arah perniagaan yang lebih kreatif dan global,” ujarnya.

Bercerita tentang produk Melayu bumiputera yang dihasilkan, Redzwan berkata Aura Hijab ialah jenama produk penjagaan rambut untuk mereka yang mempunyai masalah rambut gugur, rambut nipis, rambut berbau dan kelemumur.

“Produk ini berbeza dengan syampu biasa kerana kita merupakan rawatan sebenar bagi pelbagai masalah rambut yang dihasilkan dalam bentuk syampu untuk memudahkan kegunaan harian dan tidak mengganggu rutin wanita.

“Oleh sebab itu kita menjadikan syampu ini 3 dalam 1 iaitu syampu, perapi dan pewangi bagi memudahkan golongan wanita tanpa perlu memakai banyak produk dalam satu masa,” ujar beliau.

Selain produk penjagaan rambut, jenama produk di bawah nutrifrag ini turut mempunyai rangkaian produk lain antaranya penjagaan kulit, susu kolostrum dan ubat sakit lutut dan sendi di mana dutanya merupakan pelakon popular Faizal Hussein. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas