KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah langkah progresif yang tidak akan dikaji semula, sebaliknya pihak kementerian terus komited dalam memperkasakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
KPM dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini menekankan bahawa keputusan pemansuhan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dibuat bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih relevan dengan keperluan semasa dan menepati standard global.
“PBS adalah sistem yang lebih menyeluruh kerana ia tidak hanya menilai akademik, tetapi juga aspek sahsiah, kokurikulum dan psikometrik pelajar.
“Melalui PBS, potensi murid dapat dinilai secara holistik dan berterusan sepanjang tahun, bukan hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata,” kata kementerian dalam jawapan kepada soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).
KPM berkata sebagai sebahagian daripada sistem baharu ini, pihaknya telah memperkenalkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai pentaksiran sumatif dalam komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“Bermula sesi akademik 2024/2025, beberapa penambahbaikan telah diperkenalkan termasuk pelaporan keputusan dalam bentuk peratus dan gred bagi memudahkan ibu bapa memahami pencapaian anak-anak mereka,” katanya.
Menurut KPM, data terbaru menunjukkan PBS telah memberi impak positif dengan peningkatan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum kepada 99.81 peratus, berbanding 84.45 peratus pada sesi sebelumnya.
“Malah, pelajar kini lebih cemerlang bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga dalam pertandingan kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Katanya, pendekatan KPM tersebut sejajar dengan sistem pendidikan negara maju seperti Finland, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Australia, dan Jepun yang telah lama mengurangkan kebergantungan kepada peperiksaan standard dan memberi penekanan kepada pembangunan holistik pelajar.
“KPM akan terus memperkukuhkan pelaksanaan PBS dengan menyediakan latihan guru, memberi autonomi kepada sekolah dalam pelaksanaan ujian serta memperkenalkan mekanisme penjaminan kualiti bagi memantau perkembangan pembelajaran murid,” tambah KPM lagi.
Pemansuhan UPSR sebelum ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan pendidik, namun KPM percaya bahawa sistem baharu ini akan melahirkan generasi pelajar yang lebih berdaya saing, kreatif dan seimbang dalam menghadapi cabaran masa depan.-WILAYAHKU