KECOH sehingga ke hari ini berkait isu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan talian hayat bernilai RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).
Apa yang tidak sedap didengar apabila terdapat pihak tertentu termasuk seorang bekas Menteri menyifatkan Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri untuk golongan korporat.
Mereka mempersoalkan aspek keutamaan Anwar dalam menguruskan kewangan negara apabila lebih memilih menyelamatkan syarikat korporat dengan perbelanjaan lebih RM1 bilion, tetapi enggan membelanjakan RM800 juta untuk keperluan infrastruktur sektor pertanian.
Dakwa mereka, Anwar tiada masalah untuk menyelamatkan Sapura Energy dengan suntikan RM1.1 bilion, tetapi enggan membelanjakan RM800 juta untuk keperluan infrastruktur sektor pertanian yang akan memberi manfaat kepada 150,000 pesawah, 48,000 pekebun kelapa serta 105,000 petani buah-buahan dan sayur-sayuran.
Ini kerana golongan ini amat memerlukan bantuan segera dan fokus daripada pihak kerajaan.
Susulan itu ada yang mendakwa kononnya Kerajaan MADANI ini berat sebelah dan tidak mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pertanian yang menjadi tunjang utama kehidupan rakyat luar bandar.
Bukan itu sahaja, terdapat segelintir netizen menuduh kononnya Anwar segera bertindak apabila sesuatu perkara yang melibatkan bisnes yang menguntungkan kaum tertentu. Dakwa mereka, Anwar sanggup khianat Bumiputera dan lebih menjaga kaum berkenaan kerana bimbang hilang sokongan.
Semua tuduhan yang diberikan adalah tidak berasas kerana Kerajaan MADANI sememangnya sentiasa mengutamakan masalah rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum. Ini kerana Anwar merupakan pemimpin yang sangat adil dan lakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat.
Baru-baru ini, Perdana Menteri membidas pihak yang mengkritik langkah kerajaan memberikan suntikan tunai RM1.1 bilion kepada Sapura Energy yang dibelenggu hutang.
Sambil menegaskan bahawa pembiayaan itu hanya akan digunakan secara eksklusif untuk membayar balik vendor, beliau berkata jika tidak berbuat demikian, pihaknya akan tetap dikecam atas alasan yang lain pula.
“Daripada kira-kira 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah Bumiputera yang telah menyumbang (kepada Sapura Energy). Bagaimana mereka (vendor) boleh dihukum?
“Kalau saya tak tolong, (dituduh) Anwar khianat (sebab) dia bukan lagi beri bantuan perjuangkan nasib Bumiputera, dia hanya jadi jurucakap DAP.
“Kalau kita buat, dia kata oh ini kita bantu (syarikat terbabit),” jelasnya.
Anwar berkata suntikan dana yang diberi kerajaan melalui syarikat tujuan khas itu bukanlah berbentuk ‘hangus’ sebaliknya perlu dibayar semula oleh Sapura Energy.
Mengakui kerajaan sedar isu yang melanda Sapura Energy, Anwar menambah, langkah mengabaikan syarikat itu sekarang adalah seolah-olah menghukum para vendor terbabit sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pada masa sama beliau menegaskan, langkah membiarkan Sapura Energy gulung tikar akan membuat negara bergantung kepada syarikat asing. – WILAYAHKU