KEMENTERIAN Luar memaklumkan tiada rakyat Malaysia yang terkesan susulan kejadian gempa bumi di Kepulauan Kyushu, Jepun yang mencetuskan amaran tsunami semalam.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian gempa bumi itu.
“Walaupun tiada kematian dilaporkan, pihak berkuasa masih membuat penilaian kemungkinan berlakunya kecederaan dan kerosakan serius.
“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata kementerian itu.
Menurut kementerian itu, rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan terjejas, dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka di https://ekonsular.kln.gov.my/.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo menerusi talian +81-3-3476-3840 atau +81-80-4322-3366,” katanya.
Semalam dilaporkan amaran tsunami yang dikeluarkan untuk pantai pasifik pulau utama barat Kyushu dan Shikoku, telah ditarik balik, kecuali bagi Miyazaki.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA), memaklumkan gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud yang menggegarkan barat daya Jepun pada pukul 4.43 petang semalam pada mulanya mencetuskan amaran tsunami di pulau Kyushu, Shikoku dan Miyazaki.
Bagaimanapun, tiada kerosakan besar dilaporkan. – WILAYAHKU