Berita

Tiada rakyat Malaysia terjejas dengan gempa bumi di Syria

- Diterbit 14 Ogos 2024 11:19 AM MYT

KEMENTERIAN Luar memaklumkan buat masa ini tiada rakyat Malaysia yang terjejas dengan kejadian gempa bumi di bandar Hama, Syria.

Kementerian itu berkata Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dan Konsul Kehormat Malaysia di Syria sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini dan memantau keadaan semasa.

“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar keberadaan mereka adalah amat digalakkan untuk berbuat sedemikian di https://ekonsular.kln.gov.my,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Syria atau Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lebanon.

Terdahulu, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lebanon dan Konsul Kehormat Malaysia di Syria berkata sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian gempa bumi dengan magnitud 4.8 yang berpusat di timur bandar Hama, Syria pada jam 11.56 malam waktu tempatan semalam.

Gegaran telah memberikan kesan kepada Syria dan Lebanon dan turut dirasai sejauh Jordan dan Turki. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas