TIADA rakyat Malaysia terlibat dalam nahas tragik membabitkan pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aktau, Kazakhstan.
Demikian disahkan Wisma Putra merujuk kepada nahas pesawat J2-8243 itu semalam.
“Kita mengambil maklum mengenai nahas tragik itu yang berlaku semalam.
“Pihak berkuasa terlibat mengesahkan tiada rakyat Malaysia dalam pesawat berkenaan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis.
Wisma Putra turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan kesembuhan kepada mereka yang cedera.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Astana, Kazakhstan di 26 Sarayshyk Street, Diplomatic District, 010000 Astana, Kazakhstan atau hubungi +7(7172)790690, +7(7172)790695 atau +77770790014, atau melalui e-mel ke [email protected].
Menurut laporan media antarabangsa, pesawat Embraer 190 itu dalam penerbangan dari Baku ke Grozny apabila ia terbakar semasa pendaratan cemas berhampiran Aktau.
Pihak berkuasa melaporkan puluhan kematian, dengan sekurang-kurangnya 28 orang yang terselamat, termasuk dua kanak-kanak, yang telah dimasukkan ke hospital. – WILAYAHKU
Pesawat itu membawa seramai 67 orang, termasuk lima kru. – WILAYAHKU