TIADA warga asing yang merupakan peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) ditawarkan atau diberikan taraf pemastautin tetap (PR).
Demikian ditegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Menurut KDN, mereka juga tidak diberikan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) atau diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.
“Ini kerana pas MM2H tidak membenarkan pemegangnya memohon permit masuk yang merupakan pra-syarat permohonan MyPR,” katanya.
Terdahulu KDN menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai bilangan peserta MM2H yang diberikan status penduduk tetap atau kewarganegaraan bagi tempoh 2018 sehingga 2024.
Sehubungan itu jelas KDN, sekali gus ia juga tidak melayakkan pemegang pas MM2H untuk memohon kewarganegaraan Malaysia.
Tambahnya, tempoh pegangan MyPR merupakan antara syarat permohonan kewarganegaraan sama ada secara pendaftaran atau naturalisasi. – WILAYAHKU