Berita

Tiada perbincangan UiTM buka kepada bukan Bumiputera – Zambry

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 16 Mei 2024 10:25 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan cadangan membuka kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian atau Kabinet.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata isu itu ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.

“KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa UiTM mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata kekurangan kritikal pakar dalam negara, khasnya pakar bedah kardiotoraks, menyebabkan tempoh menunggu lama untuk pembedahan kritikal dan menyebabkan kematian.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dalam kenyataan berasingan menegaskan dasar pengambilan sedia ada kekal dan tiada perbincangan di Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata UiTM berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk menumpukan usaha menunaikan amanah sebagai seorang pelajar.

“Gunakan masa yang sangat berharga untuk belajar dan timbalah ilmu sebanyak mungkin untuk bekal masa depan yang tidak menentu. Inilah perjuangan hakiki seorang mahasiswa,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas