Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

‘Tiada penjualan MAHB kepada syarikat asing’

ANWAR menjelaskan MAHB, konsortium yang diterajui pemegang saham sedia ada MAHB, di Parlimen
- Diterbit 28 Jun 2024 9:20 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) masih lagi milik negara dan tidak dijual kepada syarikat asing.

Anwar berkata penstrukturan semula MAHB itu sebaliknya akan meningkatkan pemilikan saham Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam konsortium berkenaan daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

“Sekarang ini berbangkit soal konsortium MAHB yang dimiliki sekitar 41 peratus oleh Khazanah dan KWSP mengizinkan syarikat asing khususnya Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) untuk memiliki secara bersama (saham sebanyak) 30 peratus.

“Perubahan ini akan menjadikan pemilikan saham Khazanah dan KWSP meningkat daripada 41 kepada 70 peratus. Ia juga jelas berbeza dengan naratif di luar berkaitan penjualan, saya tegaskan sekali lagi bahawa tidak ada penjualan MAHB kepada syarikat asing,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP.

Sementara itu, Anwar berkata penjualan ataupun eksesais itu hanya melibatkan pengurusan MAHB manakala lapangan terbang masih kekal milik kerajaan Malaysia.

Anwar menjelaskan MAHB, konsortium yang diterajui pemegang saham sedia ada MAHB iaitu Khazanah dan KWSP telah memilih GIP kerana menepati beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

“Antaranya, pemilikan kepakaran teknikal dalam pengendalian lapangan terbang dan kekuatan kewangan untuk melaksanakan transaksi dan pelaburan besar, rekod pencapaian yang kukuh dalam transformasi lapangan terbang.

“Selain itu, kesanggupan untuk mengambil kepentingan minoriti dan kesanggupan untuk keluar setelah usaha transformasi tersebut membuahkan hasil.

“Sebagai tambahan, KWSP telah melabur dengan GIP dalam aset-aset infrastruktur sejak tahun 2012,” ujarnya.

Anwar menjelaskan, pihak konsortium juga telah menjelaskan bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung MAHB.

“Pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan mereka termasuklah MAHB seandainya transaksi ini dimuktamadkan nanti,” jelasnya.

Tambah Anwar, secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan ini merupakan urusan transaksi komersial. Perbincangan yang telah dijalankan oleh wakil-wakil konsortium juga tidak melibatkan BlackRock.

“Kerajaan juga dimaklumkan oleh wakil-wakil daripada konsortium bahawa meskipun setelah GIP diambil alih oleh BlackRock nanti, pengurusan GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab terhadap hala tuju strategik GIP serta syarikat-syarikat yang dilabur.

“Ini bermakna GIP akan terus beroperasi secara berasingan daripada BlackRock. ADIA bersama GIP juga akan memiliki pegangan minoriti 30 peratus dalam MAHB.

“Segala keputusan penting berkenaan MAHB hanya akan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama ahli-ahli konsortium. Justeru itu, transaksi ini tidak melibatkan BlackRock sama sekali,” katanya.

Anwar berkata tidak timbul isu penswastaan MAHB memandangkan ia jelas masih milik kerajaan dengan pegangan saham meningkat daripada 40 ke 70 peratus.

“Jangan beri gambaran seolah kita tak urus (MAHB) dengan baik, ia mencatatkan keuntungan walaupun tidak besar. Jadi soal dibangkitkan Kota Melaka mengenai penswastaan atau penjualan, ia tak timbul.

“Kita ambil alih daripada 40 ke 70 peratus pegangan saham, ini bukan penswastaan. Jadi ia masih milik kerajaan iaitu Khazanah dan KWSP,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas