Berita

Tiada pelancong akan datang kalau negara kotor, kadar jenayah tinggi – Agong

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Februari 2025 12:55 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan tiada pelancong yang hendak datang ke Malaysia jika negara ini kotor dan kadar jenayah tinggi.

Titah Seri Paduka itu merujuk kepada kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan kerajaan meletakkan sasaran ketibaan seramai 35.6 juta pelawat antarabangsa.

Oleh itu Seri Paduka mahu semua pihak berusaha untuk menjayakan kempen tersebut terutama dalam memastikan negara ini bersih dan selamat.

“Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi,” titah Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 hari ini.

Titah Sultan Ibrahim, kempen TMM 2026 bakal melihatkan keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

“Ia juga akan membuka peluang ekonomi dan mengukuhkan imej negara di mata dunia,” titah Seri Paduka.

Kempen TMM 2026 berlandaskan dua tunggak utama iaitu pelancongan bernilai tinggi dan lestari.

Ia mencerminkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman bermakna sambil melindungi khazanah unik negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas