KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) berikrar untuk membasmi golongan miskin tegar melalui aktiviti ekonomi yang dikhususkan kepada golongan tersebut.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya mendapati lebih 4,000 keluarga miskin tegar akan dibantu melalui program khusus dengan kerjasama beberapa pihak.
“Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) tahun ini, Februari ini adalah bulan sifar miskin tegar kita sedang menggerakkan program pemberian bantuan dengan menyasarkan golongan asnaf dan berpendapatan rendah.
“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam menghulurkan sumbangan berbentuk pek makanan,” katanya dalam sidang media khas sempena SHWP 2022 di Putrajaya di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail.
Ujarnya di Putrajaya, berikutan sumber yang sedikit terhad beliau dan timbalannya telah bersetuju untuk memotong sebahagian daripada gaji dan bagi menjayakan bulan sifar miskin tegar ini.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, program yang dirancang sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 berkonsepkan mesra rakyat dan dilaksanakan dalam suasana norma baharu.
“Sebanyak 64 program telah disusun sepanjang SHWP 2022 dan melibatkan penyertaan pelbagai kaum serta lapisan masyarakat dan ia bakal menterjemahkan konsep Our City Our Home melalui enam teras utama seperti Pengiktirafan, Ilmiah dan Pendidikan, Usahawan, Kemasyarakatan, Seni dan Budaya serta Sukan,” katanya.
Beliau berkata, objektif utama program tahun ini adalah untuk menyemarakkan acara sambutan yang melambangkan warga Wilayah Persekutuan (WP) sebagai harmoni, prihatin, maju dan sejahtera.
“Melalui penganjuran program-program SHWP 2022 ini, ia dapat mencetuskan semangat muhibah dan integrasi dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat sekali gus dapat mengeratkan silaturahim seluruh warga Wilayah Persekutuan.
“Selain itu, ia dapat memupuk nilai patriotik dan menjadi pemangkin dalam membentuk generasi pemimpin yang tahu menghargai serta memelihara keharmonian di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.
Beliau berharap pelaksanaan program ini membolehkan penglibatan rakyat secara umum serta memberi peluang kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan untuk menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan.
“Aktiviti yang dirancang sepanjang Februari ini sememangnya dapat merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan agar seiringan dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU