Berita

Tiada masa bincang isu remeh, 2025 tahun angkat kedudukan ekonomi Malaysia

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada Forum Ekonomi Malaysia di KLCC, Kuala Lumpur pada 9 Januari 2025. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission. MANDATORY CREDIT - AFIQ HAMBALI/Prime Min
- Diterbit 9 Januari 2025 5:11 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tahun 2025 ini merupakan tahun mengangkat kedudukan ekonomi Malaysia yang turut menandakan tanggungjawab negara selaku Pengerusi ASEAN.

Untuk itu beliau menyeru semua pihak supaya menjalinkan kerjasama dan fokus kepada kerja masing-masing serta tidak berbicara hal-hal remeh yang hanya melemahkan dan mengancam kekuatan negara.

Beliau berkata, Malaysia memulakan 2025 dengan matlamat mengukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa.

Ia katanya, dikukuhkan dengan lawatan pemimpin negara jiran termasuk Jepun ke Malaysia.

“Kepengerusian ASEAN satu kesempatan untuk membina kekuatan bersama rangkaian ASEAN yang turut memberi manfaat kepada Malaysia.

“Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini adalah tepat pada masanya memandangkan Asia menjadi pusat ekonomi global selain ASEAN disasarkan menjadi blok ekonomi terbesar dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Anwar berkata, 2025 merupakan tahun bagi Malaysia memperkukuh kedudukan geografi negara sebagai laluan utama kepelbagaian rantaian bekalan selain tenaga elektrik dan bakat.

Beliau merujuk kepada Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura termasuk sambungan Sarawak-Semenanjung melalui kabel bawah laut.

Katanya, ia adalah bidang hebat dalam usaha memajukan ASEAN dalam gris tenaga serantau.

“Kita juga berhasrat menambah baik kepakaran dalam sektor minyak dan gas, semikonduktor dan kewangan Islam,” katanya.

Beliau kemudiannya mengimbau lawatan rasmi pemimpin-pemimpin utama negara-negara anggota ASEAN ke Malaysia yang meluaskan lagi kerjasama serantau dalam aspek ekonomi.

“Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba pula akan tiba di Malaysia esok bagi membincangkan beberapa isu pelaburan, perdagangan dan peralihan tenaga, termasuk rancangan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau Asia Tenggara,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas