Berita

Tiada maklum balas lagi berkenaan draf MoU peruntukan pembangkang – Fadillah

Foto: BERNAMA
- Diterbit 26 Ogos 2024 4:13 PM MYT

KERAJAAN masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak pembangkang berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Tanya pembangkang.. belum dapat lagi, belum dapat respons daripada mereka,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis TVET Competent Suruhanjaya Tenaga (ST) – Energy Transition Catalyst di sini hari ini.

Pada 20 Ogos lepas Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata sudah menerima draf MoU tersebut dan akan membincangkannya dalam masa terdekat.

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  menyatakan isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Beliau berkata syarat ditetapkan kepada mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas