MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa naratif yang memecah-belahkan ahli PKR kepada ‘orang Saifuddin’ atau ‘orang Rafizi’ perlu dihentikan serta-merta demi perpaduan dan kekuatan parti.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, di mana kedua-dua tokoh utama itu mencapai kesepakatan untuk memperkukuh parti secara bersama menjelang mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) esok.
“Semua ini orang Keadilan. Bukan orang saya, bukan orang Rafizi. Seperti yang disebut Perdana Menteri, ini parti reformasi – kita harus hidupkan semangat demokrasi dalam pemilihan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas kekalahan beberapa nama besar dalam pemilihan parti, Saifuddin berkata kekalahan bukan bererti tersingkir.
“Saya banyak kali bertanding, lebih banyak kalah daripada menang – saya masih di sini. Selagi ada kesetiaan dan semangat berkhidmat, pimpinan tetap beri ruang,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai spekulasi penyertaannya dalam pemilihan akan datang, beliau menjawab ringkas:
“Belum lagi. Kalau ada keputusan, saya akan umum dalam sidang media khas.”
Saifuddin turut menyeru agar semua ahli parti terus menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan pandangan dan tidak membiarkan perbezaan menjadi perpecahan.
“Ini masanya kita bersatu sebagai satu barisan di bawah panji perjuangan reformasi,” katanya.-WILAYAHKU