KERAJAAN tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit dalam salah guna kuasa melindungi warga asing.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara itu.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak, sesiapa sahaja kita akan ambil tindakan. Kita pun ada juga jawatankuasa atau unit khusus untuk melihat daripada sudut disiplin dan sebagainya sekiranya ada anggota penguat kuasa yang melanggar tata kelola dan urus tadbir yang baik.
“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dan jika benar berlaku apa-apa dan ada penemuan tertentu, kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Ke-21 Sarawak hari ini.
Semalam, media melaporkan SPRM akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menahan anggota penguat kuasa PBT yang melindungi premis perniagaan warga asing.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilapor berkata operasi itu akan menjadi kajian kes untuk membuktikan kepada pihak bertanggungjawab bahawa wujud isu pemberian dan penerimaan rasuah melibatkan pemilik premis kepada penguat kuasa serta pelindungan dalam aktiviti peniaga haram terbabit.
Menerusi risikan dijalankan itu juga, SPRM mendapati bahawa ada pemilik lesen warga tempatan yang menyewakan tapak dan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.
Penguat kuasa ditawarkan suapan rasuah secara bulanan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas premis yang menggunakan ‘Lesen Ali Baba’.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata tindakan yang diambil SPRM itu seharusnya menjadi kesedaran kepada anggota penguat kuasa PBT serta agensi kerajaan yang lain.
“Ya betul ini adalah wake up call bukan sahaja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah di semua PBT dan mungkin di agensi-agensi lain juga untuk menghentikan kegiatan jenayah tersebut,” ujar beliau. – WILAYAHKU