Berita

Tiada keperluan gubal Akta Anti Diskriminasi Kaum

- Diterbit 18 Februari 2025 11:49 AM MYT

TIADA keperluan untuk kerajaan menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum buat masa ini.

Demikian ditegaskan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang melihat undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.

Malah beliau berkata, memadai juga untuk penguatkuasaan undang-undang sedia ada ditingkatkan.

“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa.

“Antara lain, di bawah Subseksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) iaitu hasil penerbitan yang menyiarkan dengan niat jahat, apa-apa berita yang tidak benar maka pencetak, penulis, penerbit dan penyunting boleh dikenakan hukuman,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai sama ada suatu Akta Anti Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat di kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap ekstremis dan rasis.

Katanya, dalam hal ini, penguatkuasaan yang telus dan adil, tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan kelas sosial adalah amat penting untuk memastikan keharmonian terus terpelihara.

“Namun demikian sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.

Mengenai insiden melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman katany, Kementerian
Perpaduan Negara telah menggerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Jelas beliau, sesi permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.

“Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesai masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya dan kaum yang berbeza,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas