PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tiada kenaikan harga barang yang luar biasa dikesan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak 10 Jun lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata melalui Ops Kesan, bahagian penguatkuasaan kementerian telah melaksanakan 14,195 pemeriksaan ke atas pelbagai premis perniagaan bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan.
“Bahagian Harga Barang Negara turut memantau 418 jenis barangan keperluan harian, dan daripada data yang kita teliti setiap hari, kita dapati tiada turun naik (harga) yang luar biasa,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai impak rasionalisasi subsidi diesel terhadap harga barangan dan peningkatan kos sara hidup rakyat, di samping peningkatan kadar cukai perkhidmatan dan tarif elektrik serta air.
Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu sama ada kerajaan ada membuat semakan secara harian atau mingguan, Fuziah berkata pihak kementerian menggerakkan 2,200 pegawai penguatkuasa dan 900 pegawai pemantau harga setiap hari bagi memantau dan mengumpul data simpanan stok (SKU) harga barang.
“Saya nak maklumkan sebenarnya sejak 2 Mei lepas, hampir sebulan sebelum penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, pegawai penguat kuasa sudah turun padang dan kumpul maklumat berkenaan harga barang, dan sehingga kini 14,729 SKU harga barang telah direkodkan supaya kita boleh buat perbandingan kalau ada kenaikan dan kalau ada penurunan. – BERNAMA