RASANYA sudah berkali-kali timbulnya desas-desus yang mengatakan kerajaan hari ini akan tumbang sikit masa lagi. Terbaharu, ada yang mendakwa kerajaan akan berkubur kerana kegagalan bajet 2025 yang dikatakan tidak menepati kehendak rakyat.
Pelik dengan pandangan golongan yang sentiasa tidak kenal erti penat mencari salah sedangkan apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan sudah terbukti memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Residensi Madani Putrajaya baru-baru ini, Anwar berkata usaha kerajaan dalam membantu rakyat khususnya golongan yang memerlukan sama sekali tidak akan menyebabkan kerajaan jatuh sebaliknya punca utama adalah akibat amalan rasuah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belum pernah tercatat dalam sejarah dunia tumbangnya sesebuah kerajaan kerana memperuntukkan perbelanjaan besar untuk kepentingan rakyat.
“Saya tak pernah baca atau ada sejarah dunia sama ada sejarah Islam, China purba, India, Arab atau Amerika Latin bahawa ada kerajaan jatuh kerana belanja banyak untuk tolong rakyat miskin.
“Belum pernah tercatat dalam sejarah ada mana-mana pemerintah itu kalah atau jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya dengan bagi upah yang adil.
“Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan tamak haloba, pimpinan kaut harta yang bukan hak mereka. Itu yang menyebabkan negara tumbang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut menumpukan aspek pembinaan rumah mampu milik, yang mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negara ini.
“Ini merupakan satu usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera serta menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri,” katanya.
Justeru Anwar menggesa semua pihak pemaju yang terlibat agar menyiapkan projek dengan segera mengikut tempoh masa yang ditetapkan namun tetap mengutamakan aspek kualiti serta mutu rumah yang disiapkan.
“Saya harap jangan ada yang melewat-lewatkan projek, melambatkan tiga, enam bulan. Ini mendera rakyat yang menunggu hingga menyebabkan kos pembinaan meningkat.
“Jadi pastikan pengawasannya, kecepatan pelaksanaan projek dan kalau ada apa-apa masalah dari sudut kerenah birokrasi, selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Jadi di manakah tandanya kerajaan akan tumbang sedangkan banyak peruntukan yang membela nasib rakyat? – WILAYAHKU