PENGARAH Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Persekutuan, Alyas Roy Amir menegaskan tiada mana-mana individu termasuk golongan kurang upaya (OKU) akan ketinggalan dalam mendapatkan peluang dan kemudahan seperti masyarakat lain.
Beliau berkata sikap negatif dan diskriminasi sesetengah pihak ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan golongan OKU menyebabkan golongan itu kerap kali terlepas peluang untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
“No one should left behind, including people with dissabilities (OKU), not now, not ever. Golongan OKU perlu dapat peluang saksama sama seperti masyarakat yang lain.
“Masyarakat hari ini perlu ubah sikap dengan memberikan fokus kepada keupayaan golongan OKU dan bukannya kekurangan atau ketidakupayaan mereka bagi membantu warga OKU Malaysia mendapatkan hak untuk hidup seperti orang normal,” katanya ketika berucap pada Program Malaysia ICT Volunteer peringkat Wilayah Persekutuan tahun 2023 di Aloft Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar beliau, MCMC secara proaktif telah memainkan peranan penting dalam mengerakkan program advokasi, perkongsian ilmu, maklumat dan kesedaran bagi memperkasakan dan meningkatkan serta meluaskan literasi digital di kalangan rakyat Malaysia termasuklah golongan OKU.
“Ia adalah satu usaha MCMC dalam memastikan tiada siapa yang tercicir daripada perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya.
Tambah beliau, dalam meningkatkan taraf komuniti setempat terhadap bidang teknologi dan perkhidmatan ICT, 40 sukarelawan dari kalangan OKU telah diberi penghormatan untuk menyampaikan maklumat penting mengenai literasi digital kepada komuniti dalam lingkungan mereka.
“Sejak dilancarkan pada 2016 sehingga akhir 2022, lebih tujuh ribu sukarelawan MIV daripada kumpulan fokus MIV bersama komuniti telah berkhidmat kepada 13 juta orang ahli komuniti dengan menyampaikan pelbagai maklumat berkenaan penggunaan Internet secara positif, produktif, selamat, dan bertanggungjawab.
“Inisiatif ini membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menyumbang ilmu pengetahuan serta kemahiran mereka bagi melatih komuniti setempat dengan menyertai program kesukarelawan ini selain menggalakkan rakyat yang celik digital dan media untuk melibatkan diri dalam komuniti mereka secara efektif, beretika, dan bertanggungjawab serta merangsang permintaan perkhidmatan komunikasi dan multimedia dalam komuniti tersebut,” katanya sukarelawan diberi tempoh tiga bulan untuk melaksanakan program tersebut. – WILAYAHKU