KERAJAAN tidak memberikan elaun kepada mana-mana badan beruniform parti politik menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai pendirian kerajaan dalam pemberian elaun kepada badan beruniform parti politik.
Tegas Perdana Menteri, pemberian elaun penugasan hanya diberikan kepada sukarela yang berdaftar di bawah agensi kerajaan mengikut kadar yang telah ditetapkan di bawah akta dan peraturan agensi berkenaan.
“Antara agensi kerajaan yang mempunyai anggota sukarelawan dan diberikan elaun penugasan adalah daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.
Justeru jelas Perdana Menteri, pemberian elaun kepada badan beruniform parti politik tidak berbangkit sama sekali.
“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan aktif semua pihak dalam menyertai aktiviti kesukarelawan dalam membentuk jati diri masyarakat yang mampan,” katanya. – WILAYAHKU