Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Tiada bukti THiJARI digodam

- Diterbit 27 Jun 2024 7:21 PM MYT

TIADA bukti yang mengesahkan perkhidmatan aplikasi THiJARI milik Lembaga Tabung Haji (TH) telah digodam sehingga menyebabkan pendeposit kehilangan wang simpanan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata siasatan TH sebaliknya mendapati pendeposit yang kehilangan wang dalam akaun disebabkan menjadi mangsa kepada aktiviti scammer.

“Mereka diperdaya melalui pelbagai cara antaranya tawaran pulangan pelaburan yang tinggi, menekan pautan fail aplikasi (APK), memberi kata laluan dan kod TAC (kod pengesahan transaksi) semasa dihubungi scammer,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai kehilangan wang dalam akaun simpanan TH.

Zulkifli berkata setakat 31 Mei lepas, TH menerima 222 aduan pendeposit yang menjadi mangsa penipuan dengan jumlah kerugian sebanyak RM609,464.

“TH sentiasa berkerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi menyiasat sebarang kes yang dilaporkan.

“Namun begitu, sekiranya kehilangan wang itu adalah akibat kecuaian pendeposit sendiri dalam melindungi akuan yang membolehkan scammer melakukan transaksi, maka TH tidak boleh membuat ganti rugi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas