Berita

Tiada badan NGO dilantik bantu biayai rawatan rakyat Palestin – Khaled

- Diterbit 19 Ogos 2024 12:49 PM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan tidak melantik mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengutip dana bagi membantu membiayai kos rawatan rakyat Palestin yang sedang dirawat di dalam negara ketika ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ada medium atau saluran sendiri yang membolehkan mana-mana pihak untuk menyalurkan sumbangan.

“Kementerian tidak menggunakan (dan) juga tidak menyokong mana-mana (NGO mengutip dana) sebab kementerian atau hospital tentera ada talian sendiri. Bagi sesiapa yang mahu menyumbang, boleh melalui talian berkenaan buat masa ini.

“Buat ketika ini jika ada pihak yang kononnya (kutip dana) untuk mangsa rakyat Palestin yang sedang dirawat, saya minta – periksa dahulu dengan pihak kami. Kita memang mengalu-alukan orang yang nak tolong, tapi tolong secara terus menerusi talian yang kita buka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat kementerian 2024 di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Kesemua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas