Berita

Tiada aduan diterima sepanjang pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2025 – KPDN

- Diterbit 10 April 2025 11:00 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pelaksanaan SHMMP yang berlangsung dari 24 Mac hingga 7 April itu berjalan lancar hasil pematuhan tinggi dalam kalangan peniaga serta pemantauan berterusan oleh pihak kementerian.

“Sebanyak 7,258 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara termasuk 158 pemeriksaan ke atas premis borong dan pengeluar, serta 7,097 premis runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, walaupun pematuhan umum adalah baik, sebanyak 386 tindakan kes telah diambil atas pelbagai kesalahan melibatkan penjualan melebihi harga maksimum, kegagalan menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu dan tidak meletakkan tanda harga.

“Kesemua kes ini melibatkan sitaan berjumlah RM12,813.84 dan kompaun sebanyak RM43,400.00,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi-agensi berkaitan serta pihak industri dan para peniaga atas kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP kali ini.

“Kerjasama erat semua pihak menjadi kunci kepada kejayaan pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2025,” katanya.

SHMMP dilaksanakan bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan harian menjelang musim perayaan dan memastikan pengguna mendapat barangan pada harga berpatutan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas