Berita

TH teruskan bantuan bersasar, tanggung RM261 juta untuk musim haji 2025

- Diterbit 16 Disember 2024 12:06 PM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadah itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, ia dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.

Jelasnya, jumlah bantuan yang besar ini telah memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit.

“Justeru TH telah mengambil langkah menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak 2022, ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit.

“Keputusan ini adalah selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar menunaikan ibadah haji, selari dengan konsep istito’ah di mana ibadah haji diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan kerajaan bagi B40, akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.

Katanya, bantuan berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.

“Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500.

“Jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang. Ini adalah selari dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Jelas Syed Hamadah, bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh kos haji selaras dengan syarat istito’ah.

Beliau berkata, terdapat hampir empat juta pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan haji, namun kuota adalah terhad.

Katanya, hos haji Muassasah adalah jauh lebih rendah daripada pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang dilesenkan oleh TH di mana harga bermula sekitar RM55,000 seorang.

“TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M, di mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah Muassasah. Bagi mengawal kos haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.

“Harga penginapan di Tanah Suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah. Namun TH berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.

“Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH,” katanya.

Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi tahun 1446H/2025M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai ini. Bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas