ADA sahaja pihak yang gemar menimbulkan fitnah semata-mata mahu melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipandang negatif daripada kaca mata rakyat.
Anwar dituduh tidak menghiraukan ekonomi atau isu-isu negara yang kian membelenggu rakyat, malah lebih gemar menziarahi pemimpin-pemimpin di luar negara.
Justeru, terdapat segelintir rakyat yang mendesak agar tempoh lawatan Perdana Menteri dipendekkan memandangkan rakyat berhadapan dengan pelbagai isu yang membebankan.
Desakan ini sebenarnya tiada asas kerana Anwar sentiasa bersedia menghuraikan segala pertanyaan atau kekeliruan rakyat walaupun sedang berada di luar negara.
Ini kerana, beliau ke luar negara juga bertujuan untuk menyelesaikan isu dalam Malaysia yang melibatkan rakyat.
Jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata apa jua permasalahan boleh dijawab oleh Perdana Menteri di mana sahaja beliau berada.
“Perdana Menteri (dijadualkan) akan kembali ke Malaysia, insya-Allah Rabu (minggu ini), sudah pasti dalam zaman sekarang sekiranya perlu beliau menjawab apa-apa isu atau pun memberi komen ia boleh dibuat di mana saja beliau berada.
“Jadi, saya lihat itu tidak ada isu dan beliau telah menyatakan bahawa untuk memohon perlindungan secara blankets itu tidak mungkin perlu mengikut proses dan berlandaskan undang-undang sedia ada dan kita pohon supaya pemberi maklumat ini buat laporan dengan pihak SPRM,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas pertanyaan media sama ada Anwar perlu memendekkan lawatan beliau bagi menyelesaikan beberapa isu, antaranya penularan video mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Perdana Menteri dalam siri lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Selatan ke dua negara iaitu Peru dan Brazil.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November, baru-baru ini.
Sebelum itu, rakaman video dimuat naik sebuah portal berita memaparkan pendedahan pemberi maklumat mengenai perbualan seorang ADUN dengan ahli perniagaan yang didakwa cuba mendapatkan kontrak menerusi tawaran wang melibatkan jutaan ringgit.
Dalam pendedahan itu, butiran perbualan tersebut melibatkan ahli perniagaan yang menawarkan RM3 juta untuk mendapatkan kuota atau lesen untuk masuk ke kawasan yang dimahukan. – WILAYAHKU