BARU-BARU ini sebuah portal dalam talian Thailand, The Nation memetik sumber yang tidak dinamakan melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Difahamkan Tesla berhadapan cabaran bersaing dengan jenama EV China & Tesla Shanghai Super Factory yang telah beroperasi mampu menampung keperluan semasa Tesla seterusnya tiada keperluan membuka kilang baharu di Asia Tenggara.
Rentetan berita tersebut, netizen menyalahkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) kerana merasakan telah diberikan harapan palsu tentang potensi pekerjaan jika kilang Tesla dibuka di Malaysia.
Dalam masa yang sama, kenyataan PMX tentang kerugian Tesla menerima pelbagai reaksi negatif dari segelintir netizen yang melihat imej PMX yang sebagai kerap spin dalam pelbagai isu.
Mungkin ramai yang tidak tahu, kegagalan Tesla bersaing dengan kenderaan elektrik keluaran China menyebabkan syarikat itu membatalkan rancangan mengembangkan operasi pengeluaran di rantau ini.
Menurut Anwar, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Tengku Zafrul mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla) mereka mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dengan EV dari China.
“Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula, itu penerangan langsung dari Tesla,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas meluncurkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di ibu negara, baru-baru ini.
Tengku Zafrul baru-baru ini dilaporkan berkata kementeriannya tidak pernah membuat pengumuman Tesla akan membuka kilangnya di Malaysia.
Katanya, berlaku perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan tetapi syarikat itu tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang.
Diminta mengulas tentang dakwaan itu, Tengku Zafrul berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Tesla sendiri.
Namun setakat ini syarikat gergasi itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan portal terbabit. – WILAYAHKU