Berita

Terokai tiga keunikan pusat pentadbiran negara

- Diterbit 12 Januari 2024 11:00 AM MYT

PENGEMBARAAN Program Pasport 50WP anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) ­memberi ­peluang kepada para ­peserta ­menerokai dan ­menjelajah ­keunikan ­serta ­kepelbagaian 50 ­lokasi menarik yang ­terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Di bawah merupakan antara ­tiga ­lokasi checkpoint menarik dan ­wajib ­dilawati di sekitar Putrajaya yang pasti tidak akan ­menghampakan ­anda.

PUTRAJAYA SECRET GARDEN

KALAU anda peminat filem ­avatar, anda pasti kagum ­dengan tarikan taman rahsia ini. Putrajaya Secret Garden ini merupakan sebuah taman yang telah direka dan ­dihias khas menggunakan pelbagai ­lampu LED.

Lampu-lampu ini ­melingkari setiap ­ceruk taman menerusi ­pokok-pokok, laluan atau pathway, ­gerbang-gerbang khas dan juga ­infrastruktur yang ­dibina di sini.

Hiasan lampu yang ­kelihatan ­seolah-olah helaian digantung di pokok-pokok ­menambah ­lagi ­suasana ­magis di sini. Malah ­terdapat ­juga ­bush-bush yang ­kelihatan seperti bunga-bunga bercahaya.

ASTAKA MOROCCO

KAWASAN Astaka Morocco ­menjadi ­salah satu pusat tumpuan orang ramai ­untuk bergambar ­kerana ­keunikan seni bina replikanya ­seperti di Marrakesh.

Ia terletak bersebelahan Taman Botani Putrajaya dan seni ­binanya ­diinspirasikan oleh istana di Maghribi.

Dari pintu gerbang yang gah ­sehingga kepada pancuran air ­mewah di taman ­bunga, pengunjung pasti rambang mata ­untuk memilih lokasi untuk bergambar.

CHOCOLATE SOUQ

KEDAI coklat terbesar di Lembah Klang, Souq Shoppe Putra Mosque ­menjadi tarikan terbaharu di Putrajaya dengan penampilan photo booth Reese’s dan Hershey’s gergasi yang pertama di Malaysia.

Kedai seluas 11,000 ­meter ­persegi itu bukan sahaja ­menawarkan ­pelbagai coklat ­jenama tempatan dan ­antarabangsa, ­tetapi ­memberi ­pengunjung peluang ­bergambar ­dalam alam fantasi dengan ­reka ­cipta ­dalaman yang dilengkapi lampu ­warna-warni dan struktur klasik.

Lebih menarik, terdapat banyak ­instaworthy spot di sepanjang ­laluan pejalan kaki ini.

Jadi, jangan lepaskan ­peluang ­anda ­untuk berkunjung ke ­lokasi-lokasi ­menarik di ­sekitar Putrajaya dan ­bergambar bagi ­melengkapkan ­aktiviti jelajah ­anda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas